KUALA LUMPUR – Wartawan yang membuat liputan perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam, kesal dengan sikap biadap segelintir penyokong 'The Red Warriors'.
Wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Dayne Azmin berkata beliau sangat kecewa melihat sikap penyokong Kelantan itu yang tidak profesional dengan membaling botol minuman dan bekas makanan ke arah tempat media di aras dua stadium berkenaan.
"Pada separuh masa pertama, penyokong Kelantan membaling botol air sehingga terkena skrin laptop saya. Mereka kemudian bertindak lebih agresif dengan membaling bekas penyembur rambut ketika meraikan gol (oleh Mohammed Ghaddar) sehingga hampir terkena kepala namun saya sempat tepis.
"Bagi saya, tindakan seumpama itu merupakan suatu perkara yang tidak matang dan jelas tidak mencerminkan semangat kesukanan yang sebenar," katanya.
Muhammad Dayne berkata beliau pernah mengadukan mengenai isu keselamatan tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, namun badan induk bola sepak negara itu menyatakan perkara tersebut terletak di bawah tanggungjawab Perbadanan Stadium Malaysia.
Wartawan Berita Harian Mohd Fitrie Muhamad pula berkata beliau hampir terkena bekas makanan yang dibaling dari aras tiga stadium itu.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq