PETALING JAYA - Seramai 1.5 juta pelajar institusi pengajian tinggi dari seluruh negara akan menerima Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) secara berperingkat-peringkat bermula semalam.
Kad diskaun yang diwujudkan sebagai usaha untuk membantu meringankan beban sara hidup pelajar sepanjang pengajian itersebut boleh digunakan di 1,200 cawangan kedai dan pasar raya terpilih bermula 1 September depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fasa pertama pemberian kad tersebut yang dikeluarkan dengan kerjasama Bank Rakyat membabitkan para pelajar yang mengikuti pengajian peringkat sijil, diploma dan ijazah sepenuh masa.
Sehingga kini, katanya, kad yang memberi diskaun atas pembelian barangan dan perkhidmatan itu sudah mempunyai sebanyak 179 buah syarikat yang menjadi rakan dagang meliputi sektor seperti peruncitan, kelengkapan sukan, penginapan dan syarikat penerbangan.
"Kerajaan menjangkakan lebih banyak syarikat korporat akan menjadi rakan dagang menjelang hujung tahun ini dan pelajar bebas menggunakan kad tersebut sehingga tamat tempoh pengajian.
"Ini merupakan cadangan yang diutarakan oleh majlis perwakilan pelajar dan ia jelas menunjukkan kerajaan komited untuk membantu golongan ini dengan mendengar suara mereka," katanya.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq