TAIPING - Pasukan khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ditempatkan di seluruh negara, merakamkan 1,876 kesalahan lalu lintas secara bergambar sejak Op Selamat bermula hingga kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, pihaknya kini dalam proses mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit.
"Pasukan khas ini mengenal pasti kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya dan mengambil gambar," katanya ketika ditemui pemberita ketika Ops Motosikal, di Kamunting, di sini malam semalam
Beliau berkata, di Perak, anggota JPJ yang menyamar dan menaiki 52 perjalanan bas ekspres merekodkan 10 kesalahan dilakukan pemandu seperti menggunakan telefon bimbit, memotong di garisan berkembar serta memandu melebihi had laju.
Selain itu, sebanyak 113 kesalahan dilakukan pemandu dicatat anggota JPJ yang menjalankan operasi di terminal-terminal bas di Medan Gopeng, Kamunting Raya, Teluk Intan dan Manjung.
"JPJ telah mengeluarkan 47 sama di samping memberi notis-notis terhadap pemandu berkenaan," katanya.
Mengenai motosikal, Ismail berkata, di Perak, sebanyak 257 saman dikeluarkan terhadap penunggang dan pembonceng motosikal atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Beliau juga mendedahkan ada pemandu kenderaan berat yang ingkar larangan menggunakan jalan raya pada 17 dan 18 Ogos lepas. - BERNAMA
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq