"JARINGAN itu sebagai hadiah Aidilfitri dan hari jadi saya kepada seluruh peminat bola sepak di Malaysia."
Demikian reaksi bintang muda negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor selepas meledak gol sulung bersama kelab remaja Portugal, S.C Beira-Mar minggu lalu.
Dalam aksi persahabatan menentang kelab Loursa pada 18 Ogos lalu, Nazmi Faiz berjaya menyumbang satu gol buat skuad Bawah 19 tahun (B-19) Beira-Mar itu.
Dua hari sebelum aksi itu yang menyaksikan skuad B-19 Beira-Mar meraih kemenangan 3-0, Nazmi Faiz telah menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-18.
Meskipun masih tidak mendapat peluang untuk beraksi bersama skuad utama Beira-Mar, Nazmi Faiz percaya jaringan tersebut menjadi suntikan semangat kepadanya untuk menambat hati pengendali kelab Divisyen Satu Portugal itu.
"Saya rasa sangat gembira selepas sebulan berada di Portugal. Walaupun saya tidak beraksi bersama skuad utama Beira-Mar tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk beraksi dengan lebih baik dalam setiap perlawanan.
"Selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun, saya berazam untuk berusaha dengan lebih keras untuk memikat pihak pengurusan skuad utama Beira-Mar.
"Buat masa ini, saya masih perlu belajar dan jurulatih Beira-Mar, Ulisses Morais telah banyak membantu saya ketika sesi latihan bagi memperbaiki skil serta kemahiran di tengah padang.
"Beraksi dalam liga di Eropah sememangnya menjadi impian saya sejak kecil dan saya mahu menimba seberapa banyak pengalaman bersama Beira Mar," ujar Nazmi Faiz ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Portugal baru-baru ini.
Sementara itu, bapa Nazmi Faiz, Mansor Mustapha berharap bekas perancang skuad Harimau Muda A itu memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi.
Menurut Mansor, beliau yakin Nazmi Faiz akan menjadi lebih matang sebagai seorang pemain profesional jika terus mendapat pendedahan beraksi di peringkat kompetitif.
"Kami sentiasa mendoakan kejayaan dia untuk terus lebih maju dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
"Harapan saya agar dia dapat beraksi bersama skuad utama Beira-Mar dan bijak mengawal emosi jika mendapat peluang diturunkan dalam kesebelasan utama," katanya.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq