1) Lye Huat Garden, Kedah

2) Taman Burung Kuala Krai, Kelantan

3) Countryview Recreation, Pahang

4) PD Mini Zoo, Negeri Sembilan

5) Taman Kuang, Ajil, Terengganu

6) Mines Wonderland, Selangor

Tindakan ini diambil berikutan ketidakpatuhan zoo-zoo tersebut terhadap penilaian pematuhan Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo) 2012 yang telah dijalankan terhadap 45 buah premis yang menempatkan hidupan liar di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Daripada jumlah tersebut, 15 buah premis adalah di bawah pengurusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Tempatan, manakala 30 buah premis selebihnya adalah milik persendirian, swasta dan persatuan.

Justeru, berdasarkan saringan awal pematuhan yang telah dibuat, sejumlah enam (6) premis zoo telah berhenti operasi dan ditutup.

Kesemua spesies hidupan liar di premis berkenaan telah dan akan diambil untuk dilepaskan semula ke dalam habitat semulajadi selepas proses rehabilitasi (bagi spesies tempatan) atau diserah kepada zoo tempatan yang diberi permit.
Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo) 2012 yang telah dilaksanakan menetapkan beberapa kriteria penting dalam memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan hidupan liar dalam kurungan adalah terjamin.
Antaranya yang utama ialah keperluan untuk menyediakan kurungan yang bersesuaian untuk setiap spesies hidupan liar mengikut saiz yang ditetapkan; menyediakan khidmat veterinar; mengadakan kawasan kuarantin; memberikan makanan dan minuman yang mempunyai kandungan nutrien yang baik dan diberi dalam kuantiti yang mencukupi serta penjagaan kesihatan setiap spesies hidupan liar yang disimpan.
Proses saringan terhadap premis zoo lain masih terus dilaksanakan dengan komprehensif dan berkala.
Pihak pengusaha zoo perlu mengambil perhatian serius akan keperluan pematuhan di bawah Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo) 2012.

Walaupun keperluan pematuhan ini akan melibatkan kos yang tinggi, namun, kebajikan hidupan liar yang dipelihara dalam kurungan perlu diutamakan.

Tindakan penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.

Oleh yang demikian, pihak Jabatan PERHILITAN juga sedang dalam proses pengukuhan perjawatan yang diperlukan dalam usaha mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang yang akan dijalankan. Ini akan membolehkan tindakan yang menyeluruh diambil.

Sebagai langkah susulan, Jabatan PERHILITAN dan Malaysian Association of Zoological Parks and Aquaria (MAZPA) akan membantu ahli-ahli zoo dalam memberikan latihan pengendalian zoo untuk meningkatkan pengetahuan pengurusan kebajikan dan husbandry hidupan liar dalam kurungan.

Berdasarkan keputusan penilaian pematuhan Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo )2012 dan dengan persetujuan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, telah diputuskan bahawa Jabatan PERHILITAN telah meluluskan permit pengendalian zoo kepada Zoo Negara, dan Zoo Taiping & Night Safari.
Jabatan komited untuk terus memantau dan menguatkuasakan peraturan pengendalian zoo melalui penguatkuasaan undang-undang dari semasa ke semasa.

Di samping itu, Program Teman Zoo Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan diteruskan bersama MAZPA dari semasa ke semasa.

Ini bertujuan untuk membimbing pengusaha zoo dalam pematuhan peraturan pengendalian zoo dan pencapaian amalan pengurusan zoo terbaik.
SUMBER : Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI:
Pegawai Perhubungan Awam
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( PERHILITAN)
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Tel  : 03-90866800
Faks : 03-90752873

- Bernama