BANGKOK - Padang sekolah pun jauh lebih elok!Demikian nasib Harimau Malaya yang terpaksa menjalani latihan sulung di bumi Bangkok dalam keadaan padang yang serba daif petang semalam.
Ia ekoran padang awam Jaran Buraprat itu yang disediakan Thailand semalam cukup menyedihkan sehingga menyukarkan pengendali negara, Datuk K. Rajagobal merencana strategi menjelang aksi separuh akhir kedua kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Supachalasai di sini malam esok.
Selain terpaksa menjalani latihan secara terbuka sehingga memberi ruang kepada media Thailand 'mengintip' kekuatan skuad negara, tiada bilik persalinan disediakan selain permukaan padang yang teruk.
Sama ada tiada padang lain yang lebih sempurna, layanan buruk itu dilihat seolah-olah perang psikologi daripada tuan rumah bagi melemahkan moral skuad negara, tambahan pula Thailand kini memiliki kelebihan gol di tempat lawan selepas berjaya melakar keputusan seri 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu.
Pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal ternyata kecewa dengan layanan 'kelas kedua' yang diberikan pihak negara Gajah Putih berhubung perkara itu.
"Sudah tentu ia jauh berbeza daripada apa yang diberikan kami kepada Thailand sebelum ini.
"Keadaan padang memang teruk, itu belum dikira soal keselamatan pemain negara.
"Saya memang tidak menyangka Thailand hanya menyediakan kami padang awam seperti ini," katanya semalam.
Subahan memberitahu, mereka mungkin terpaksa menjalani latihan ringan di pekarangan Hotel Golden Tulip Sovereign (tempat penginapan Harimau Malaya) pagi ini memandangkan hanya dapat menjalani latihan di Stadium Supachalasai pada sebelah malam.
"Kami telah mengemukakan aduan berhubung perkara itu kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan juga Persatuan Bola Sepak Thailand kerana padang itu memang tidak sesuai langsung dijadikan tempat latihan mana-mana pasukan kebangsaan," katanya
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq