LONDON 27 Mac - Bagi kebanyakan pemandu berpengalaman, meletakkan kereta secara selari bukan perkara yang mudah untuk dilakukan, lebih-lebih lagi jika perbuatan kita sedang diperhatikan oleh pemandu lain yang boleh menganggu cara pemanduan kita.
Namun, dua beradik dari Britain berjaya melakukannya, walaupun di ruang letak kereta paling sempit dan dengan cara pemanduan yang laju dan hanya menggunakan brek tangan serta teknik pusingan tayar.
Atas kemahiran mereka, Alastair dan John Moffatt, berjaya memecah rekod dunia meletakkan kereta di ruang paling sempit, dengan hanya meninggalkan ruang sekecil 13.1 sentimeter antara kereta depan dan kereta belakang.
Dua beradik dari Gloucester itu mempamerkan kemahiran pemanduan dan ketepatan mereka untuk mengenepikan rekod sebelum ini yang dipegang oleh Ronny Wechselberger, dengan jarak yang tinggal sekecil 14 sentimeter.
Dalam cabaran terbaharu tersebut, Alastair dan Moffatt perlu menggelincirkan kereta ke dalam ruang letak kereta yang sempit tanpa menyentuh kereta lain atau terkeluar daripada garisan putih yang ditetapkan.
Mereka menggunakan kereta Mini Mayfairs untuk melengkapkan misi mereka itu, sambil diperhatikan oleh para juri dan beberapa kamera.
Moffatt, 31, yang merupakan orang pertama memecahkan rekod tersebut berkata, dia terkejut dengan pencapaiannya memecah rekod sebelum disusuli oleh adiknya.
Alastair, 29, pula berkata, dia berasa sangat lega selepas melakar kejayaan tersebut.
"Saya hanya mempunyai satu atau dua percubaan untuk menyahut cabaran itu, menyebabkan tekanan semakin meningkat.
"Kejayaan kami memegang rekod dunia ini secara bersama merupakan pencapaian yang hebat dan kami akan bersaing sesama sendiri untuk mencipta rekod baharu," katanya.
Cabaran mereka itu dirakam pada Disember lalu untuk rancangan Officially Amazing yang memaparkan kisah-kisah lucu, pelik, mengarut, menakutkan dan percubaan memecahkan rekod dunia
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq