Perkembangan terbaru mengenai Perjanjian Kerjasama antara PROTON Holdings Bhd dengan gergasi automotif Jepun, Honda Motor Co Ltd yang dimeterai tahun lalu, bakal diketahui dalam tempoh terdekat ini.
Timbalan Ketua Eksekutif PROTON Holdings, Datuk Lokman Ibrahim, berkata ia susulan kemajuan rundingan yang dicapai kedua-dua pihak dalam mengenalpasti bidang kerjasama yang bakal dilaksanakan nanti.
Ia (rundingan perjanjian kerjasama antara PROTON Holdings dan Honda Motor) berlangsung dalam suasana yang begitu baik sekali.
Perkembangan positif
Tidak lama lagi, akan ada satu pengumuman amat positif mengenainya, katanya kepada BH ketika ditemui di Ibu Pejabat PROTON Holdings, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemajuan Perjanjian Kerjasama PROTON Holdings dan Honda Motor yang dimeterai kedua-dua pihak tahun lalu.
DRB-Hicom, dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia pada 29 Oktober lalu berkata, pemeteraian Perjanjian Kerjasama dengan syarikat Jepun itu
akan membolehkan PROTON Holdings dan Honda Motor meneroka peluang kerjasama dalam empat bidang utama industri automotif.
Bidang itu adalah peningkatan teknologi, pengenalan barisan produk baru, perkongsian platform dan kemudahan pengeluaran.
Konglomerat itu berkata, perjanjian berkenaan juga menandakan bermulanya potensi kerjasama strategik jangka panjang antara PROTON Holdings dengan Honda Motor.
Sementara itu, Lokman berkata, perkembangan Perjanjian Kerjasama dengan Honda Motor yang bakal diumumkan nanti turut memperlihatkan bahawa syarikat automotif tempatan itu sebenarnya tidak senyap seperti yang diperkatakan beberapa pihak ketika ini.
Kami (DRB-Hicom) amat konsisten dengan segala rancangan serta program transformasi yang sedang dan bakal dilaksanakan bagi mengemudi PROTON Holdings kembali kepada landasan menguntungkan.
Kami tidak senyap seperti yang diperkatakan banyak pihak. Sebenarnya, kami amat sibuk melaksanakan setiap program dan rancangan yang dibuat untuk PROTON Holdings, katanya.
Fokus untuk dipulih
Beliau turut menegaskan bahawa konglomerat automotif terbesar Malaysia itu amat fokus dan bertekad akan mengotakan janji yang dibuat bagi memulihkan kembali syarikat automotif negara itu dengan jayanya.
Penganalisis ketika dihubungi percaya kerjasama itu bakal memberi fokus kepada pembangunan dan pengeluaran kereta dengan kapasiti enjin 2.0 liter menerusi strategi perkongsian platform.
Kami percaya ia adalah untuk model gantian Perdana yang lama ditunggu-tunggu, katanya sambil menambah berdasarkan maklumat pihak pengurusan DRB-Hicom, kerjasama itu tidak akan membabitkan sebaran pertukaran ekuiti, sebaliknya hanya membabitkan bayaran royalti kepada Honda Motor.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq