Adegan pertikaman lidah berlaku di antara penduduk Taman Pekan Baru, Parit Buntar dengan pemilik gudang, Tan Sang Seng.
Penduduk Taman Pekan Baru merakamkan gambar kehadiran lori lapan tayar yang bebas keluar masuk ke taman itu untuk menghantar barang ke gudang jubin.
PARIT BUNTAR – Tindakan hampir 20 penduduk Taman Pekan Baru, di sini mengadakan bantahan aman di hadapan sebuah gudang bertukar kecoh apabila aktiviti mereka itu tidak disenangi pemilik gudang terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin tindakan pemilik gudang memarahi peserta bantahan aman itu mencetuskan rasa tidak puas hati sehingga menyebabkan berlakunya pertikaman lidah selama 15 minit.
Bagaimanapun, keadaan tegang di antara pemilik gudang dan penduduk berjaya diredakan oleh anak pemilik gudang yang bertindak memohon maaf di atas kekecohan berlaku.
Aduan tidak dihirau
JURUCAKAP Jawatankuasa Bertindak Taman Pekan Baru, Ong Seow Lee berkata, penduduk terpaksa mengadakan bantahan aman berikutan tindakan pemilik gudang itu didakwa langsung tidak menghiraukan keselamatan dan keselesaan penduduk.
Menurutnya, pihaknya kesal aduan dan rayuan penduduk agar tidak membenarkan kenderaan berat milik pemilik gudang itu keluar masuk ke kediaman mereka tidak diendahkan. "Sikap berdiam diri Majlis Daerah Kerian (MDK) memburukkan lagi keadaan apabila kenderaan berat ini bebas keluar masuk bermula jam 9 pagi sehingga jam 6 petang setiap hari.
"Kami tertekan dengan keadaan ini, bukan sahaja kereta rosak dilanggar kenderaan berat, malah rumah kami juga mengalami kerosakan di beberapa bahagian," katanya sewaktu ditemui Sinar Harian selepas mengetuai bantahan aman itu, di sini, semalam.
Seow Lee berkata, kini lebih sepuluh rumah di kawasan taman itu didapati mengalami kerosakan teruk di bahagian pagar, dinding rumah dan keretakan lantai akibat gegaran daripada kenderaan berat berkenaan. "Apabila kami meminta ganti rugi, pemandu kenderaan berat ini berlagak samseng dengan bertindak memaki hamun dan mengugut kami.
"Selain itu, taman kami kehilangan pili bomba (hydrant) apabila pemilik gudang ini menjadikan kawasan pili bomba sebagai tempat menyimpan jubin," katanya. Katanya, sudah berpuluh-puluh surat aduan dan laporan polis dihantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi sehingga kini, tiada tindakan susulan dijalankan.
Pemilik gudang licik
BAGI Mat Rozi Awang Teh, 56, pemilik gudang itu bertindak licik menyediakan beberapa laluan alternatif iaitu di Jalan Murai 2 dan jalan baru menghubungkan sebuah taman perumahan baru yang terletak di belakang kawasan kediaman mereka bagi mengelakkan aduan terus dibuat. Bagaimanapun, penggunaan laluan alternatif itu masih memberi impak negatif, apabila lebih ramai penduduk terdedah dengan pencemaran udara dan bunyi.
"Aktiviti keluar masuk kenderaan berat itu turut memberi risiko besar kepada keselamatan anak-anak kami yang bersekolah. "Sampai bila kami hendak berhadapan dengan keadaan ini dan saya minta MDK prihatin dengan masalah yang melibatkan kerugian harta benda dan ancaman nyawa lebih 50 keluarga," katanya.
Rumah alami kerosakan
SEORANG Lagi penduduk, K Kamaladevi berkata, aktiviti keluar masuk kenderaan berat ke gudang itu menyebabkan dia kerugian hampir RM30,000 bagi membiayai kos kerosakan rumah disebabkan gegaran lori besar dan treler. "Kawasan rumah saya juga sering mengalami banjir kilat terutama musim hujan apabila air melimpah ke parit rumah yang tersumbat akibat lambakan sampah-sarap berpunca dari gudang itu," katanya.
Syarikat ada lesen
BAGI mendapatkan penjelasan lanjut, Sinar Harian berkesempatan menemui pemilik gudang jubin itu, Tan Sang Seng@Tan Chooi Choon untuk mendapatkan gambaran sebenar status gudang berkenaan. Menurutnya, syarikatnya telah diberikan lesen untuk menjalankan aktiviti di situ oleh MDK sejak dua tahun lalu dan beliau turut mengemukakan bukti penerimaan lesen kepada penduduk yang hadir.
"Saya diberi kebenaran oleh MDK untuk menjalankan aktiviti pergudangan di sini sehingga 2013 dan selepas itu kami akan memindahkan operasi perniagaan kami ke Simpang Tiga setelah bangunan siap dibina.
"Saya terkilan dengan penduduk yang cuba menutup periuk nasi kami dengan mengemukakan aduan tak berasas, sedangkan kenderaan berat saya hanya terdiri lori seberat satu hingga tiga tan sahaja," katanya.
Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Seow Lee yang mengemukakan bukti bergambar mengenai kehadiran treler dan lori besar. "Walaupun gudang itu diberi lesen, tindakan membiarkan kenderaan berat keluar masuk ke taman perumahan kami adalah bertentangan dengan Akta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan saya harap isu ini diselesaikan segera," katanya.
MDK siasat status Yang Dipertua MDK, Khairul Amir Mohamad Zubir ketika ditemui menjelaskan pihaknya kini sedang menyiasat status kewujudan gudang menyimpan jubin itu.
Menurutnya, pihaknya sudah beberapa kali mengenakan kompaun terhadap kenderaan berat yang dikenal pasti milik pemilik gudang itu. "Sememangnya ada aduan dikemukakan penduduk, bagaimanapun saya difahamkan tindakan penguatkuasaan sudah dikenakan terhadap kenderaan berat terbabit.
"Kini penduduk masih mengemukakan aduan sama dan saya tidak menolak kemungkinan aktiviti kenderaan berat keluar masuk di kawasan ini masih aktif," katanya. Katanya, mengenai kewujudan gudang itu, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menyiasat dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah jika didapati bersalah.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq