ALOR SETAR – Seorang guru terselamat daripada menjadi mangsa penipuan kad kredit setelah bertindak enggan menyerahkan nombor akaun kepada individu tidak dikenali yang menghubunginya melalui panggilan telefon.
Menurut Fazilah Halim, 45, kejadian itu berlaku sewaktu seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Jason Tan mendakwa dari sebuah syarikat kad kredit, menghubungi nombor telefon miliknya sekitar jam 10.30 pagi, kelmarin.
Katanya, namun pada masa itu panggilan berkenaan dijawab oleh suaminya, Muhammad Muda, 51, yang menggunakan nombor berkenaan dan sedang dalam perjalanan ke Kubur Panjang, Pendang untuk urusan kerja.
"Melalui hasil perbualan berkenaan, Jason mengatakan saya ada menggunakan sekeping kad kredit dan sudah membelanjakan RM9,790 di sebuah pusat membeli belah di Singapura dan meminta pengesahan untuk membuat pembayaran.
"Lelaki itu memberitahu kad terbabit dipohon pada 30 Mac lalu di Sibu, Sarawak, kemudian diluluskan pada 26 April lalu serta membuat pembelian pada 28 April di Singapura," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di rumahnya di Taman Hidayah, Hutan Kampung, di sini, semalam.
Fazilah berkata, suaminya bagaimanapun terpaksa berpatah balik ke rumah setelah individu berkenaan memberi masa tiga jam untuk pemilik kad sebenar membuat pengesahan dan turut memberikan nombor telefon Bank Negara Malaysia (BNM), jika ada sebarang kekeliruan.
"Saya sendiri terkejut dengan panggilan itu kerana tidak pernah memiliki sebarang kad kredit dan paling menjadi tanda tanya, bagaimana dia tahu nama sebenar serta nombor kad pengenalan saya dengan tepat.
"Bagi mengelakkan sebarang rasa curiga, saya cuba menghubungi nombor telefon BNM yang diberikan dan dijawab seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Johan namun tidak begitu fasih berbahasa Melayu," katanya.
Baca lagi, best ni
Menurutnya, tanpa menaruh sebarang syak wasangka dia membuat aduan tidak memiliki kad kredit serta tidak pernah pernah pergi ke Sarawak atau ke Singapura seperti didakwa lelaki yang menghubungi suaminya.
"Selain mengambil keterangan dia turut bertanya beberapa soalan termasuk adakah kad pengenalan saya pernah hilang sebelum ini atau saya mempunyai sebarang jawapan bagaimana mereka mendapatkan nombor pengenalan dengan tepat.
"Saya memberitahu kad pengenalan tidak pernah hilang dan merasakan ada individu tertentu mengambil kesempatan menggunakan salinan kad pengenalan saya sewaktu berurusan dengan bank untuk tujuan peribadi mereka," katanya.
Dia berkata, dalam tempoh sejam selepas itu Johan kembali menghubungi untuk memintanya memberi keterangan semula serta mendesak supaya diberikan nombor akaun.
"Walaupun sedikit keliru dengan situasi itu saya tetap enggan berbuat demikian kerana tidak mempunyai nombor akaun kad kredit atau memberi sebarang nombor akaun bank yang lain, dia bagaimanapun akur dengan permintaan saya," katanya.
Menurutnya, bagi mengelakkan berlaku sebarang masalah lain, suaminya meminta khidmat nasihat daripada seorang rakan yang bekerja di institusi perbankan dan dinasihatkan supaya membuat aduan secara terus ke BNM.
"Selain membuat aduan melalui emel kepada syarikat pengeluar kad kredit berkenaan serta BNM saya turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, sekitar jam 2.30 petang hari yang sama.
"Polis turut menasihatkan saya supaya jangan melayan panggilan telefon individu tidak dikenali meminta nombor akaun atau melibatkan urusan kad kredit kerana sudah banyak kes melibatkan penipuan kad kredit," katanya.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq