Supermini popular di UK kini menambahkan lagi varian sedia ada dengan pengenalan Honda Jazz Si. Dikeluarkan dari kemudahan pengeluaran di Swindon bersama-sama varian yang lain, Jazz Si dibina berasaskan varian 1.4 ES manual, tetapi dengan tambahan beberapa ciri lebih sporty. Bahagian luaran telah dikemaskini dengan bampar depan dan belakang sport termasuk 'side skirts' dan rim aloi 16 inci. Jazz Si turut menampilkan cermin privasi, lampu kabus depan dan lencana Si di but belakang untuk menonjolkan spesifikasi sport yang ada padanya.
Untuk memastikan kestabilan sewaktu pemanduan, suspensi Jazz Si telah disemak dan ditala semula dengan penggunaan 'damper' baharu dan 'anti-roll bar' yang besar di bahagian depan. Sistem stereng kuasa juga mengalami naik taraf semula bagi meningkatkan rasa dan respon pengendalian. Dengan tambahan ciri-ciri menarik seperti itu, Jazz Si terus mengekalkan karakter sebenarnya iaitu mudah dipandu dan selesa, mampu melakukan perjalanan jauh dan ianya juga seronok untuk dipandu.
Bahagian interior turut mendapat suntikan baharu dengan roda stereng menerima kemasan kulit, tempat duduk dengan sokongan warna hitam dan perak dan manfaat daripada ciri kawalan pelayaran (cruise control). Jazz Si boleh didapati dalam empat warna yang menyerlahkan gaya keremajaannya; Merah (Milano Red), Hitam (Crystal Black), Putih (White Orchid) dan Biru (Azure Blue). Jazz Si ditawarkan pada harga atas jalan £14,550 dengan pilihan versi Si-T yang boleh didapati pada harga £15,545 (OTR) dengan tambahan navigasi SD dan integrasi Bluetooth.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq