Lakonan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex, 23, menerusi drama pendek online yang berjudul Semua Boleh Bolt menimbulkan salah faham segelintir pihak.
Malah,ada suara sumbang mendakwa Apex sudah berubah sikap menjadi individu yang cakap tidak serupa bikin memandangkan dia pernah mengakui sebelum ini bahawa tidak akan berkecimpung dalam dunia lakonan.
Bagaimanapun, Apex yang tenang menghadapi tohmahan ini memberitahu lakonannya dalam video berkenaan hanyalah sebagai menjalankan amanat yang diberikan kepadanya sebagai duta jenama Puma.
"Saya hanya menjalankan amanat orang saja. Orang yang dimaksudkan itu adalah Puma yang masih lagi mempercayai saya untuk menjadi duta mereka.
"Jadi, lakonan saya ini hanyalah untuk promosi produk terbaru dan lebih kepada melunaskan amanat atau janji. Saya pun hanya akan berlakon untuk iklan TV saja terutama sekali iklan yang membabitkan saya sebagai duta," jelasnya.
Dalam pada itu, Apex menegaskan tidak akan berkecimpung dalam dunia lakonan sepenuh masa untuk sementara waktu kerana mahu fokus kepada kerjayanya sebagai atlet negara.
Bagaimanapun, Apex dengan rasa rendah diri memohon maaf seandainya penglibatan dalam iklan ini telah mengguris dan menyinggung pihak yang menyokongnya selama ini.
"Jawapan saya masih lagi sama. Saya hanya akan berlakon untuk iklan TV saja. Jikalau saya menerima tawaran berlakon filem atau pun drama, saya terpaksa menolaknya.
"Saya minta maaf kerana saya belum bersedia untuk menjadi pelakon. Apa yang saya tahu, saya mencari rezeki dalam bidang sukan. Sebagai hamba Allah, saya juga tidak boleh menidakan diri untuk mencari rezeki yang lebih.
"Sebab itulah juga, saya menjinakan diri dalam bidang peragaan yang mana ia lebih kepada kempen yang telah menandatangani saya sebagai duta. Pun begitu, saya hanya melakukan segala tanggungjawab sebagai duta ini dengan jadual yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan saya sendiri," katanya.
Sementara itu, Apex tidak menafikan berasa sedikit perbezaan apabila diberi peranan melakonkan watak pengawal keselamatan dari Nepal dalam drama pendek untuk iklan Puma.
"Saya berasa seronok kerana dapat bekerjasama dengan artis seperti Zain Saidin dan Fabes Fly FM. Mereka banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.
"Antara babak yang saya suka dalam iklan ini sudah semestinya babak saya tidur dengan kasut yang banyak. Ini kerana, dalam dunia realiti, ia satu perkara yang mustahil untuk saya berbuat sebegitu.
"Apapun, terima kasih sekali lagi kepada semua yang menyokong karier saya selama ini. Insya-Allah, saya akan terus menjadi yang terbaik di mata anda dan maafkan saya sekiranya saya ada tergelincir seketika," ujarnya.
Sambungan episod kedua Semua Boleh Bolt boleh ditonton mulai hari ini yang mana ia ditayangkan di laman Youtube yang sama.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq