Walaupun ramai yang berpuas hati dan memuji lakonan Shaheizy Sam dalam filem S.A.M (Saya Amat Mencintaimu), namun pelakon pujaan ramai ini mengakui dia masih belum berpuas hati dengan lakonannya. Jelas lelaki ini, watak seorang psiko itu boleh dijayakan oleh sesiapa sahaja kerana skopnya terhad.
"Bidang lakonan ini skopnya sangat besar. Tapi watak-watak yang pernah saya bawakan sebelum ini skopnya tidak besar mana pun. Saya dambakan watak yang lebih meluas skopnya. Saya cakap begini bukan kerana cerita ini tidak bagus, tetapi saya nantikan watak yang boleh menguji keupayaan lakonan saya seperti watak Budi dalam '29 Februari'. Saya rasa watak itu sangat mencabar kerana dia perlu melalui beberapa zaman berbeza, dari kecil sehinggalah ke usia tua. Watak psiko rasanya ramai pelakon yang boleh buat," ujar Sam berterus-terang.
Bercerita tentang kerjasamanya dengan Pengarah Malaysia Termuda Malaysia Book Of Records, Shafiq Yusof, Sam memberitahu dia tidak menghadapi sebarang masalah dengan pengarah itu. Jelas Sam, Shafiq seorang pengarah yang tahu apa yang dikehendaki.
"Arahannya sangat jelas dan saya boleh memahaminya dengan baik. Walaupun dia sangat muda, tetapi Shafiq membuktikan dia boleh berikan yang terbaik. Dia tahu apa yang dia nak. Saya berpuas hati dengan garapan filem ini. Mula-mula dapat skrip, memang saya rasa ceritanya macam mengarut, tetapi sebaik penggambaran bermula saya jadi yakin. Kalau peminat filem tempatan boleh terima filem bergenre cinta psiko ini, tidak mustahil 'S.A.M' mendapat kutipan memberangsangkan. Semuanya terletak di tangan penonton," ujar Sam lagi.
Sementara itu, Sam juga mendedahkan sepanjang 36 hari penggambaran berlangsung, dia mengalami demam sebanyak tiga kali. Ini kerana peranannya sebagai Sam dalam filem ini agak berat kerana memerlukan kekuatan fizikal untuk aksi-aksi pergaduhan yang dipaparkan.
'S.A.M' akan menemui penonton di seluruh negara bermula Aidifitri ini iaitu 19 Ogos hadapan. Selain dibintangi oleh Shaheizy Sam, filem ini turut menampilkan Lisa Surihani sebagai heroin, Syamsul Yusof, Neelofa dan Azad Jazmin sebagai pelakon pembantu.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq