KUALA LUMPUR: Penyanyi rock terkenal, Ramli Sarip bakal tampil dengan persembahan berkonsepkan spiritual pop bersempena konsert Alunan Kalbu bagi menyambut ulang tahun ke 20 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 14 Julai depan.
Ramli berkata, menerusi persembahan itu dia akan membawakan lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian dengan menggunakan muzik akustik bagi memberikan kelainan pada persembahan itu nanti.
"Persembahan itu nanti akan lebih kepada lagu-lagu kemanusiaan dan ketuhanan dengan pelbagai mesej berguna kepada penonton.
"Bagaimanapun ia akan diadakan dalam keadaan santai dengan diiringi muzik akustik dengan alatan seperti rebana, gambus, seruling dan rabuka," ujarnya kepada mStar Onlineketika ditemui semasa sesi ramah mesra bersama media di sini, Selasa
Ramli Sarip bakal adakan konsert percuma 14 Julai depan.
.
Konsert Alunan Kalbu itu bakal diadakan di Dewan Besar IKIM pada tarikh itu bermula 8.45 malam dan masuk adalah percuma.
Dewan yang boleh memuatkan 300 penonton itu turut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi Iwan Syahman.
Dalam pada itu, Ramli berkata, dia juga telah memilih sepuluh buah lagu yang bersesuaian dengan tema konsert itu selain memikirkan selera penonton pada malam itu nanti.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan adalah seperti Bukan Kerana Nama, Nyanyian Serambi, Adam Hawa, Kekasihku, Kau Yang Satu, Bahasa Terindah, Anugerah Nabi, Iqra, Senandung Hidup Berbudi dan Qasidah Kampungan.
Ramli berbual mesra dengan Pengarah Radio IKIM FM, Nik Roskiman Abdul Samad.
"Ada di antara lagu-lagu tersebut pernah dinyanyikan dan mendapat sambutan daripada peminat dan selebihnya adalah lagu baru daripada album terbaru saya iaitu Sadaqa," ujarnya.
Bagaimanapun kata Ramli, album berkenaan belum berada di pasaran.
Sementara itu, Pengarah Radio IKIM FM, Nik Roskiman Abdul Samad berkata, pemilihan Ramli pada konsert itu adalah memikirkan populariti dan lagu-lagunya yang sering diputarkan di stesen radio itu.
Nik berkata, pihaknya juga ingin memberikan kelainan kepada sambutan ulang tahun itu tetapi masih mengikut tema yang telah ditetapkan.
"Lagu-lagu Ramli sering menjadi pilihan pendengar untuk diputarkan di stesen radio kami. Jadi pemilihan Ramli adalah tepat dengan kehendak pendengar dan tema yang ingin kami ketengahkan.
"Satu skrin besar juga akan disediakan di luar dewan bagi menampung kehadiran orang ramai yang tidak berkesempatan untuk masuk ke dalam dewan," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Nik berkata selain konsert itu, pihaknya turut mengadakan karnival dan pameran di perkarangan IKIM dengan pelbagai aktiviti menarik selama tiga hari bermula 13 Julai, pukul 12 tengah hari.
"Antar aktiviti yang bakal berlangsung adalah pertandingan mewarna, demo memasak bersama chef, kuiz IKIM FM, sukaneka bersama artis dan bersama maskot Boboi Boy," ujarnya.
Bagi yang inginkan maklumat lanjut, boleh menghubungi urus setia di talian 03-62046320 atau 03-62046329.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq