PENGKALAN HULU – Aktiviti menyeludup 10 ekor cicak tokek dikesan dibawa masuk dari Betong, Thailand melalui Kompleks Imigresen Bukit Berapit telah dikesan di sini, minggu lalu.
Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu memandu kereta model lama diarahkan berhenti kerana disangka cuba menyeludup beras siam akhirnya, didapati cuba menyeludup cicak berkenaan yang disembunyikan dalam guni.
Lelaki berkenaan disoal siasat berhubung penemuan cicak tokek itu dan mendakwa haiwan itu sudah ditempah dan dijual dengan harga mencecah RM100,000 seekor di negara ini.
Spesies cicak tokek yang mempunyai nilai tinggi dan diseludup dari negara jiran.
Berdasarkan aktiviti itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Pehilitan) Negeri, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, cicak tokek adalah spesies dilindungi dan telah dimasukkan dalam senarai haiwan dilindungi pada tahun 2010.
Menurutnya, individu yang memiliki atau membela spesies berkenaan perlu mendapatkan lesen daripada Perhilitan berikutan cicak berkenaan semakin pupus akibat menjadi buruan individu yang teruja dengan khabar angin yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit.
"Sekiranya ditahan, individu tersebut boleh disiasat mengikut Akta 716 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh didenda sehingga RM50,000. Sebanyak 12 spesies cicak berkenaan dimasukkan dalam kategori haiwan dilindungi.
"Larangan juga telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada Jun tahun lalu yang memutuskan hukum memakan dan berubat menggunakan cicak tokek adalah haram," katanya.
Abdul Kadir berkata, pihaknya turut membuka pos sempadan di Kompleks Imigresen Bukit Berapit sebagai langkah kawalan terutama mengesan sebarang aktiviti penyeludupan haiwan dilindungi itu.
"Kami meminta orang awam terutama penduduk sekitar daerah ini bekerjasama menyalur maklumat mengenai kegiatan berkenaan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Komander Unit Pencegahan dan Penyeludupan (UPP) Negeri, Ishak Jaafar berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasa lain terutama Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Perhilitan untuk membanteras kegiatan itu.
"Kami akan bertindak dalam sebarang kes penyeludupan sebelum menyerahkan kes seumpama itu kepada agensi berkaitan terutama membabitkan penyeludupan beras, pendatang tanpa izin dan aktiviti penyeludupan haiwan dilindungi," katanya.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq