Leuniey mengulas mengenai penyebaran gambar di Instagram milik Apexs yang menunjukkan mereka sedang memilih kain di sebuah kedai dan menafikan mereka sedang membuat persiapan bertunang.
Tidak lama kemudian, bapa Apexs telah mengeluarkan kenyataan di akhbar memberitahu yang pasangan ini dijangka mendirikan rumahtangga pada Disember depan. Walau bagaimanapun, pasangan ini lebih selesa untuk tidak memberikan sebarang komen dan memberitahu akan mengumumkannya dalam sebuah sidang media khas tidak lama lagi.
Ketika di malam Anugerah Skrin 2012 baru-baru ini, berpeluang bertemu dengan pereka baju, Ezuwan Ismail yang merupakan kenalan rapat bagi pasangan ini. Difahamkan, Ezuwan merupakan individu yang dipertanggungjawabkan untuk mereka busana perkahwinan pasangan ini dan kesempatan ini digunakan untuk bertanyakan kepada beliau mengenai rekaan serta konsep perkahwinan Apexs dan Leuniey nanti.
"Untuk majlis akad nikah, Leuniey akan mengenakan baju kurung moden manakala majlis sebelah perempuan pula mereka akan mengenakan persalinan songket berwarna 'skin colour'," ujar Ezuwan sambil mengakui mendapat kerjasama yang baik dari pasangan ini.
"Tidak dinafikan senang untuk bekerjasama dengan mereka dan ketika menunjukkan rekaan baju saya kepada mereka, kedua-dua mereka terus bersetuju dan okay dengan rekaan saya. Saya banyak berbincang dengan Leuniey mengenai busana mereka dan Apexs pula jenis ikut saja dan tak kisah."
Sempat mengusik Ezuwan di mana sebagai salah seorang kenalan rapat Leuniey, sudah tentu dia tahu mengenai tarikh perkahwinan pasangan ini dan Ezuwan yang cuba mengelak dari menyentuh mengenai perkara tersebut memberitahu, "Saya hanya boleh cakap pasal baju saja. Mengenai tarikh, saya tak nak komen apa-apa. Kita tunggu saja kerana mereka akan umumkan dalam satu sidang media nanti."
Bercerita lebih lanjut mengenai konsep serta kos busana perkahwinan pasangan ini, Ezuwan memberitahu, "Majlis sebelah perempuan akan diadakan di Kelantan dan berkongsepkan Tradisional Melayu Moden. Manakala untuk majlis di Kuala Lumpur, mereka akan mengenakan busana berkonsepkan Inggeris Moden berwarna 'off white'. Baju akad nikah bernilai dalam RM10,000, resepsi Leuniey dalam RM20,000 dan untuk majlis di KL pula dalam RM15,000. Jadi jumlah kos baju perkahwinan mereka saja dalam anggaran RM45,000."
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq