BIARPUN gagal mempertahankan trofi Artis Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) lalu, pelakon handalan, Noorkhiriah Ahmad Shapie tidak pernah dihambat kecewa.
Apatah lagi, tiga kali merangkul anugerah itu pada ABPBH sudah cukup untuk membuatkan dia bersyukur dengan bakat seni kurniaan Tuhan.
Begitupun, ibu cantik kepada dua cahaya mata ini seperti memencilkan diri di mata pihak media tempatan. Noorkhiriah, 35, seakan-akan selesa 'low-profile' dan kelibatnya hanya dapat ditonton dalam drama TV semata-mata.
Justeru, apa yang menyebabkan dia bertindak sebegitu?
Justeru, apa yang menyebabkan dia bertindak sebegitu?
Bersua dengannya pada sesi fotografi yang diadakan di Balai Berita, NSTP, Bangsar baru-baru ini selepas agak lama tertangguh, Noorkhiriah akui dia bersikap terbuka menjawab segala persoalan termasuk dakwaan kononnya tidak lagi memerlukan pihak media.
Menolak tegas dakwaan negatif itu, Noorkhiriah berkata, bukan niatnya untuk tidak lagi berhubung dengan pihak media bagi berkongsi kisah terbaru, cuma jadual lakonannya selalu padat.
Ujarnya, kesibukan di lokasi penggambaran menghalang dia mengatur tarikh sesuai untuk menjayakan sesi fotografi.
"Kesibukan kerja saya menjadi alasan utama. Mana mungkin saya tidak perlukan media kerana selagi terbabit dalam dunia seni, sokongan wartawan itu sangat penting dan sangat diperlukan. Begitupun, saya selalu tidak dapat memenuhi undangan fotografi yang diatur kerana masa kurang sesuai.
"Ada masanya tarikh yang dipilih itu ketika saya terbabit penggambaran di luar Lembah Klang. Jadi memang tak boleh buatlah kecuali di lokasi. Lagipun saya rasakan tiada cerita menarik untuk dipaparkan media selain soal kerja semata-mata. Jadi tanpa kisah sensasi dan kontroversi, apakah orang akan membacanya?
"Jadi memikirkan kemungkinan cerita saya membosankan nanti, adalah lebih baik jika ruang kosong itu diberikan kepada artis lain yang ada cerita lebih hebat untuk dikongsi. Biarlah saya menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja kerana tawaran berlakon diterima pun tak putus-putus.
"Pun begitu, sebagai anak seni yang terbiasa beraksi di depan kamera, perasaan rindu untuk menjayakan fotografi memang ada," katanya yang menggayakan pakaian rekaan Wanpa dan solekan oleh Linda Bridal.
Ramah berbicara, Noorkhiriah memaklumkan imej bertudung tidak sedikit pun menggugat rezekinya. Bahkan, disebabkan kesibukan berlakon juga dia terpaksa rela berjauhan dengan dua permata hatinya, Muhammad Hudhaifah, 3, dan Muhammad Yusoff, 1, yang dihantar balik ke kampung.
Turut berkongsi perasaannya yang mendapat peluang bertugas di konti Hot FM pada 12 dan 13 Oktober lalu, Noorkhiriah berkata, ia pengalaman baru dan istimewa baginya.
Ujar pelakon kelahiran Raub, Pahang itu, ternyata tanggungjawab sebagai penyampai radio yang bertugas pada waktu pagi bukanlah mudah.
"Dua hari saya menyahut cabaran menjadi penyampai radio bersama Fafau (Fara Fauzana) dan Nana Mahzan memang menyeronokkan. Ketika itu, saya diundang bertugas kerana FBI dan AG bercuti.
"Pada saya, ia cukup menghiburkan kerana berpeluang berinteraksi dengan pendengar. Pelbagai gelagat pendengar yang mencuit hati kerana mereka ramah, bersahaja dan amat kelakar.
"Bagaimanapun, saya akui agak kekok pada hari pertama. Mujur ada Fafau dan Nana yang membantu dan syukur saya mampu melakukannya dengan baik. Bahkan, walau pun seawal jam 5 pagi saya sudah berada di Sri Pentas, Bandar Utama, pengalaman bertugas di konti radio Hot FM itu amat berbaloi dan saya benar-benar suka.
"Justeru, andai kata ada peluang buat saya menyertai radio suatu hari nanti secara sepenuh masa, mungkin saya takkan tolak dan akan pertimbangkan. Ini kerana saya begitu gembira melakukan tugasan itu. Malah pengalaman singkat di radio bersama Fafau dan Nana cukup indah dan ia pasti menjadi kenangan tak dapat dilupakan sampai bila-bila," katanya.
Menyentuh pula soal maklum balas pendengar dan peminat, Noorkhiriah berkata, sekali lagi dia bersyukur kerana memperoleh sokongan positif. Walaupun dirasakan persembahannya agak huru-hara tetapi asalkan orang ramai terhibur, ia satu penghargaan. Apatah lagi, sebagai pengalaman pertama dan terlalu baru.
Apapun, Noorkhiriah amat berterima kasih kepada Fafau kerana sudi memberinya peluang untuk menonjolkan bakat sebagai penyampai radio.
Jelas Noorkhiriah lagi, Fafau mengundangnya untuk bekerjasama selama seminggu tetapi dia tidak dapat memenuhinya kerana terikat dengan jadual penggambaran drama.
Antara drama popular yang pernah dibintangi Noorkhiriah adalah Nur Khalifah sebanyak 16 episod dan sitkom Seri Pantun Mai Chek Mai musim kedua bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Noorkhiriah juga memaklumkan dia ada mendapat tawaran berlakon dalam telefilem yang akan menjalani penggambaran di luar negara.
Kini turut membabitkan diri dalam bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan, Noorkhiriah berkata, dia kini terbabit berniaga kecil-kecilan menyediakan perkhidmatan van untuk produksi.
Ujarnya, tak sangka sambutan diterima sangat bagus hingga dia bercadang mahu menambah beberapa buah van lagi
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq