Itu amaran jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal (kanan) terhadap anak buahnya jika gagal bermain bersungguh-sungguh pada aksi sulung Kumpulan B, Piala Suzuki AFF bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
Beliau bernada lebih serius kali ini selepas melihat aksi longlai anak buahnya ketika sekadar seri 1-1 dengan pasukan ranking 171 dunia, Bangladesh pada perlawanan persahabatan terakhir, malam kelmarin.
"Kalau ada mana-mana pemain yang tak mempamerkan permainan sebenar ketika bertemu Singapura, saya akan terus buat pertukaran drastik tanpa mengira siapa pemain itu. Saya tidak peduli.
"Lihat saja bertemu Bangladesh ini, saya terus keluarkan empat pemain utama pada waktu rehat. Kami serius tentang hal ini.
"Ambil ia sebagai cabaran dan harap mereka sedar untuk tidak mengulanginya ketika bertemu Singapura nanti," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan dengan pasukan berkenaan di Stadium Nasional, malam kelmarin.
Bagi jurulatih berusia 56 tahun itu, tindakan berkenaan bukan perkara baru kerana sebelum ini pernah melakukannya selepas Harimau Malaya tewas 5-1 kepada Indonesia pada aksi sulung Kumpulan A, Piala Suzuki AFF 2010, di Jakarta.
Rajagobal melakukan tindakan drastik menukar terus tiga pemain kesebelasan utamanya ketika bertemu Thailand pada perlawanan kedua.
Mengulas aksi hambar skuadnya ketika bertemu Bangladesh, Rajagobal berkata: "Cukup mengecewakan...saya terkejut kerana pemain nampak letih, cukup perlahan dan tiada pergerakan menarik."
Dalam pada itu, kecederaan dialami penyerang, Zaquan Adha Radzak pada perlawanan malam kelmarin menyaksikan Rajagobal seakan 'menjilat ludah sendiri' dengan akur untuk memanggil semula pemain Pahang, Azamuddin Akil yang digugurkan secara drastik selepas seri 1-1 dengan Hong Kong, 14 November lalu.
"Lebih kurang saya sudah ada bayangan 22 pemain terakhir. Tapi saya hanya akan umum siapa dua lagi pemain yang akan digugurkan dalam sehari dua ini. Saya tak boleh umum lagi kerana masih boleh berlaku kecederaan dalam tempoh ini."
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq