KETIKA mula dilancarkan pada bulan September 2011 oleh syarikat Xentral Methods Sdn. Bhd., e-Sentral, buku elektronik (e-book) kurang mendapat sambutan di Malaysia kerana masih ramai yang tidak peka mengenai kewujudannya.
Rakyat negara ini waktu itu baru mengenali nama-nama portal e-book seperti Amazon Kindle, Apple iBooks dan Kobo. Melaluinya, pembaca boleh membeli dan membaca buku keluaran syarikat penerbitan dari luar negara.
Perkembangan teknologi yang begitu pesat dewasa ini secara signifikan telah membantu portal e-Sentral untuk menarik minat orang ramai yang meminati bahan bacaan e-book.
Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn. Bhd., Faiz Al-Shahab memberitahu, e-Sentral merupakan sebuah portal yang menyediakan pelbagai jenis buku dalam bentuk e-book dan boleh dibaca terus menerusi gajet canggih pembaca.
"Menerusi portal ini, setiap pembaca perlu memuat turun aplikasi e-Sentral pada gajet mereka secara percuma. Selesai memuat turun aplikasi tersebut, pembaca akan diberikan beberapa judul buku secara percuma sebagai percubaan.
"Portal ini juga menyediakan lebih 1,700 judul buku yang pada asalnya merupakan buku yang dicetak oleh syarikat penerbitan tempatan. Syarikat-syarikat ini kemudian telah berkolaborasi dengan pihak kami untuk menjadikan buku itu dalam bentuk e-book," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Lebih murah
Aplikasi e-Sentral ternyata dekat dengan pengguna yang menggunakan gajet canggih dewasa ini kerana ia boleh digunakan pada sistem operasi IOS, Android, Cloud dan pada komputer peribadi mereka.
Format yang beroperasi pada aplikasi tersebut ialah e-pub dan ia merupakan format yang berbeza dengan format yang kebiasaannya digunakan pada e-book iaitu PDF.
Format e-pub berupaya melindungi setiap e-book pada aplikasi itu daripada diciplak atau disalin oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, pengguna juga diberi kebebasan untuk memilih judul buku yang ditawarkan oleh portal itu.
"Setiap judul buku yang ditawarkan pada portal ini terbahagi kepada dua iaitu e-book percuma dan e-book berbayar.
"Namun, pengguna tidak perlu risau kerana e-book yang dijual menerusi portal ini jauh lebih murah daripada harga buku yang dicetak dan dijual di pasaran, malah ada yang dijual serendah RM5," jelas Faiz.
Tambahnya, fokus utama portal berkenaan adalah untuk mempromosikan buku tempatan terutamanya buku Bahasa Melayu dalam bentuk e-book.
Pengguna tidak perlu risau mengenai langkah-langkah perlindungan pada aplikasi itu kerana seorang pengguna boleh menggunakan tiga akaun berbeza pada tiga gajet milik mereka.
Antara syarikat penerbitan tempatan yang telah menyumbangkan karya di portal itu ialah Karnadya Solutions Sdn. Bhd., Pelangi, Hijjaz Record, Marshall Cavendish dan Buku Fixi.
Tidak hanya mempromosikan buku-buku novel yang menjadi kegemaran remaja, e-Sentral juga menawarkan buku-buku ilmiah daripada syarikat penerbitan Universiti Malaya untuk dijadikan rujukan oleh golongan profesional.
"Portal ini juga memberi peluang kepada penulis-penulis bebas untuk menghasilkan karya mereka melalui e-book tanpa mengeluarkan modal untuk pencetakan.
"Ini merupakan salah satu cara untuk kami mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang penulisan negara untuk dipromosikan menerusi portal ini," ujar Faiz.
No comments:
Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq