Latest: Download Free Desktop Wallpapers of Chef Loony! | Series: AuthorRank? | Download MBT eBooks!

Hikmah Keberkatan Dalam Sahur

0 komen
وَعَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي اَلسَّحُورِ بَرَكَةً - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .
 
Daripada Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w.bersabda: "Bersahurlah kerana pada makanan sahur itu ada keberkatan. (al-Bukhari: 1923, Muslim: 1095, al-Nasa`i, no: 2146, al-Tirmidhi, no: 708, Ibn Majah, no: 1692 )
 
Zahir daripada hadis ini menunjukkan wajib bersahur kerana lafaz dalam bentuk kata kerja suruhan dan ia menunjukkan hukum wajib. Walau bagaimanapun pengertian wajib ini bertukar kepada sunnat kerana terdapat qarinah atau dalil lain iaitu Rasulullah s.a.w. pernah berpuasa wisal, ya'ni menyambung puasa beberapa hari tanpa makan dan ini menunjukkan baginda tidak bersahur dan tidak mungkin baginda meninggalkan perkara yang wajib.
 
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاصَلَ فَوَاصَلَ النَّاسُ فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَنَهَاهُمْ قَالُوا إِنَّكَ تُوَاصِلُ قَالَ لَسْتُ كَهَيْئَتِكُمْ إِنِّي أَظَلُّ أُطْعَمُ وَأُسْقَى
 
Daripada Abdullah bin 'Umar bahawa Rasulullah s.a.w. menyambung puasanya (tanpa makan) lalu orang ramai turut sama menyambung puasa maka ia menjadi sukar kepada mereka. Dengan sebab itu, baginda melarang mereka. Mereka bertanya, "Sesungguhnya tuan menyambung puasa." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Keadaan saya bukan seperti kamu. Sesungguhnya saya terus diberi makan dan minum." (al-Bukhari, no 1922, Muslim, no: 1102)
 
Dalam hadis ini tidak disebutkan bahawa baginda bersahur. Selain itu, terdapat ijma' di kalangan fuqaha` bahawa bersahur itu sunnat dan ini berdasarkan kepada kefahaman mereka terhadap nas-nas syara' dan matlamatnya.
 
Dalam hal ini, kata kerja suruhan dalam hadis ini, seperti yang dinyatakan oleh al-Qurtubi sebagai amr irshadi, ya'ni perintah yang mengandungi bimbangan dan tunjuk ajar kepada sesuatu yang memberikan kemaslahatan kepada individu iaitu menjaga kekuatan yang mana dibimbangkan hilangnya dari orang yang berpuasa tanpa bersahur.
 
Maksud keberkatan pada sahur
 
Ada dua cara bacaan bagi kalimah sahur. Huruf Sin boleh dibaca dengan baris hadapan dan baris atas. Bacaan yang pertama bermaksud perbuatan makan makan pada waktu sahur dan bacaan kedua bermaksud makanan yang dimakan waktu tersebut. Kedua-dua cara ini boleh dipakai kerana ia menunjukkan kepada keberkatan pada perbuatan yang dilakukan pada waktu tersebut dan apa yang dimakan itu membawa keberkatan.
 
Ibn Daqiq al-'Id berkata: "Dalam hadis ini terdapat petunjuk eloknya bersahur kepada orang yang berpuasa, sebabnya ialah adanya keberkatan di dalamnya. Boleh jadi keberkatan ini merujuk kepada perkara ukhrawi kerana menegakkan sunnah sebab kepada pahala dan pertambahannya. Kemungkinan juga merujuk kepada perkara duniawi kerana memperolehi kekuatan badan untuk berpuasa dan memudahkannya tanpa rasa terbeban. (Ihkam al-Ahkam, juz. 2, hal. 162)
 
Sahur juga dikatakan mempunyai keberkatan kerana setiap amalan yang mengikuti sunnah pasti terdapat petunjuk, kebaikan dan keberkatan. Maka dengan itu, sahur satu ketaatan kepada Allah yang mengandungi banyak keberkatan.
 
قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآَمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (158)
 
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitab-Nya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk". (al-A'raf: 158)
 
Di antara hikmahnya, seseorang yang bersahur mendapat kesempatan untuk sembahyang jemaah di masjid. Sebab itulah, kita dituntut untuk melewatkan sahur supaya jarak di antara selepas bersahur dan solat berjemaah tidak terlalu lama sehingga ada ruang untuk tidur yang berkemungkinan terlepas Subuh berjemaah. Dengan itu, bilangan jemaah sembahyang Subuh menjadi bertambah. Jemaah yang lebih ramai tentu lebih disukai Allah s.w.t.
 
Sahur merupakan satu bentuk latihan untuk bangun tahajjud di akhir malam kerana waktu itu waktu yang penuh dengan keberkatan.
 
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
 
Tuhan kita yang Maha Tinggi dan Agung turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga malam. Dia berfirman, adakah sesiapa yang berdoa kepada-Ku? Aku pasti memperkenan untuknya, adakah sesiapa yang meminta dari-Ku? Aku pasti berikan kepadanya dan adakah sesiapa yang meminta keampunan dari-Ku? Aku pasti mengampuninya. (Sahih Muslim)
 
Dalam riwayat yang lain disebutkan:
 
يَنْزِلُ اللَّهُ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا كُلَّ لَيْلَةٍ حِينَ يَمْضِي ثُلُثُ اللَّيْلِ الْأَوَّلُ فَيَقُولُ أَنَا الْمَلِكُ أَنَا الْمَلِكُ مَنْ ذَا الَّذِي يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ ذَا الَّذِي يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ ذَا الَّذِي يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ فَلَا يَزَالُ كَذَلِكَ حَتَّى يُضِيءَ الْفَجْرُ
 
Allah s.w.t. turun pada setiap malam ke langit dunia ketika berlalu satu pertiga malam dan berfirman: "Akulah raja, Akulah raja. Siapakah yang berdoa kepada-Ku? Aku pasti akan memperkenankan untuknya. Siapakah yang meminta daripada-Ku? Aku pasti akan memberikan kepadanya. Siapakah yang memohon ampun daripada-Ku? Aku pasti akan mengampunkannya. Demikianlah yang berlaku sehingga fajar menyinari.
 
Oleh sebab itu, waktu yang paling baik untuk beristighfar ialah semasa bersahur dan Allah s.w.t. memuji orang-orang soleh berdoa memohon ampun dari-Nya pada waktu tersebut.
 
الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا إِنَّنَا آَمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (16) الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَارِ (17)
 
(16.) (Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka"; (17.) (dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. (Surah Aal 'Imran: 16-17)
 
كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ (17) وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (18)
 
(17.) Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. (18) Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). (Surah al-Zariyat: 17-18)
 
Walaupun dari segi zahir, sahur itu merupakan sesuatu yang seseorang memenuhi tuntutan nafsunya dan memperolehi ni'mat duniawi tetapi ia juga termasuk dalam perkara yang melengkapkan maksud berpuasa. Oleh itu, tidak timbul kemusykilan golongan sufi yang melihat sahur itu boleh menafikan maksud dan hikmah puasa yang bertujuan untuk memecahkan syahwat perut dan kemaluan. Walaubagaimanapun jika bersahur dengan kuantiti yang melampau maka itu tentu sekali menafikan maksud dan hikmah puasa.
 
Menurut al-Qastallani, di antara keberkatan bersahur, diberikan keberkatan pada makanan sahur yang sedikit di mana dia memperolehi kekuatan untuk yang berpuasa. Ada diriwayatkan, walaupun dengan meminum air. Dalam riwayat Abu Umamah dalam al-Tabarani terdapat sebuah hadis walau dengan sebiji buah tamar, walau dengan beberapa biji anggur kering. (Irshad al-Sari, jil. 3, hal. 365)
 
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ
 
Daripada Ibn 'Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dapatkanlah kekuatan dengan memakan sahur untuk berpuasa di siang hari dan dengan qailulah (tidur sekejap di siang hari) untuk qiyamulail. (Ibn Majah, no: 1693)
 
Menurut Shah Waliyullah, keberkatan di sini ada dua, pertama merujuk kepada pengislahan badan, iaitu tidak menyebabkan lemah dan daif kerana menahan diri dari makan seharian adalah memenatkan, maka itu tidak boleh digandakan. Kedua, merujuk kepada tadbir al-Millah (peraturan agama) iaitu tidak boleh melampau, tidak boleh dimasuki tahrif (penyelewengan) dan pengubahan. (Hujjah Allah al-Balighah, jil. 2, hal. 93).
 
Ini bermaksud puasa itu sendiri mempunyai permulaan dan pengakhiran yang mana mukallaf tidak boleh melampaui dari had yang telah ditetapkan. Jika tidak ia akan membuka pintu kelampauan dan keterlajakan dalam pengamalan agama.
 
Dengan bersahur seseorang yang berpuasa dapat menjaga dirinya daripada lapar yang bersangatan kerana ia boleh menyebabkan seseorang bertindak luar daripada akhlak mulia.
 
Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya, Fath al-Bari menyebutkan bahawa dengan bersahur seseorang yang berpuasa dapat berniat sebelum fajar jika dia lupa untuk berniat sebelum tidur.
 
Keberkatan dalam bersahur juga dikaitkan dengan usul mukhalafah Ahli Kitab iaitu prinsip menyalahi orang Yahudi dan Kristian dalam ibadat.
 
عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ
 
Daripada 'Amr bin al-'As bahawa Rasulullah s.a.w.bersabda: "Pembeza antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur. (Muslim, no: 1096, al-Nasa`i, no: 2168, Abu Dawud, no: 2343, al-Tirmidhi, no: 709)
 
Al-Khattabi berkata: Ma'na hadis ini ialah galakan supaya bersahur dan pernyataan bahawa agama ini mudah dan tidak ada kepayahan di dalamnya. Ahli Kitab apabila mereka tidur selepas dari berbuka maka tidak halal bagi mereka untuk makan dan minum sehinggalah waktu fajar. Tetapi ini dihalalkan kepada kita berdasarkan ayat
 
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
 
Hadis ini juga menunjukkan sahur salah satu daripada keistimewaan umat ini dan termasuk salah satu perkara yang diringankan untuk mereka.
 
Al-Turbashti mengatakan bahawa disyariatkan sahur sebagai tanda bersyukur di atas ni'mat diperintahkan bersahur yang mana ia tidak diharuskan dalam syariat yang terdahulu. (Tuhfah al-Ahwazi, jil. 3, hal. 449)
 
Di antara Maqasid al-Shari'ah ialah umat Islam hendaklah mempunyai identiti yang tersendiri, tidak boleh menyerupai golongan sesat sama ada dalam bab ibadat atau adat. Keserupaan dalam bab ibadat boleh membawa kepada kesyirikan dan keserupaan dalam adat pula membawa kepada keserupaan dalam hal batin dan dalaman dan akhirnya menyebabkan kebinasaan. (lihat Tawdih al-Ahkam, jil. 3, hal. 524)

No comments:

Jika korang suka info ini, sila tulis sesuatu kat komen, tq

  • MBT Icons and buttons

    Icons and Buttons

    Our resources have been successfully downloaded over 10K times and found almost every where. Get yours!

  • choosing webhost for a blog

    Why HostGator?

    Learn Why we chose HostGator as our Web Host and find discount coupons to kick start your blog today!

  • SEO Settings for blogger

    ALL IN ONE SEO PACK 2012

    Learn every single SEO tip that will boost your blog's ranking and organic traffic. We got them all!

  • Blogger widgets and plugins

    Visit MBT's Blogger LAB

    Why not take a tour of all great Blogger widgets published so far? You Name it we have it!

  • become a six figure blogger!

    Become a SIX FIGURE BLOGGER

    Learn what it takes to become a successful entrepreneur and build a living online!